Sunday, May 3, 2009

Respect: Jawapan dari seorang murid

Assalamualaikum. ..
Pada suatu hari Syafiq al-Balkhi bertanya kepada muridnya Hatim al-Asham: "Apakah pelajaran yang dapat engkau petik sejak engkau menemaniku?"
Hatim menjawab: "Ada enam perkara:
Pertama: Ketika aku melihat manusia selalu mencemaskan masalah rezeki
sedangkan mereka bakhil dengan apa yang sudah mereka dapat dan tamak dengannya. Aku bertawakkal kepada Allah, kerana dia telah berfirman: 'Dan tidak ada suatu makhluk yang menjalar di muka bumi melainkan Allahlah yang memberinya rezeki' (Hud:6)
Kerana aku termasuk makhluk yang menjalar di muka bumi, maka aku tidak mahu meresahkan hatiku dengan apa yang telah dijamin oleh Yang Maha Kuat lagi Maha Kukuh"
Syafiq berkata kepadanya: "Bagus"
Kedua: Kerana aku melihat semua orang mempunyai teman yang menjadi tempat pengaduannya untuk mengatakan semua permasalahan dan rahsianya sedangkan mereka tidak mahu membelanya pada waktu susah. Aku menjadikan amal soleh sebagai temanku agar ia dapat membantuku pada waktu hisab dan membuatku selamat ketika dihadapkan kepada Allah. Ia juga akan menemaniku ketika melalui titian Shiratul Mustaqim"
Syafiq berkata: "Bagus"
Ketiga: Aku melihat setiap orang mempunyai musuh. Aku melihat setiap orang yang mengumpatku bukanlah musuhku, bukan orang yang menzalimiku dan bukan pula orang yang berbuat jahat kepadaku kerana orang-orang tersebut akan memberiku keuntungan dari kebaikan mereka dan akan menanggung dosa-dosaku.
Musuhku adalah orang-orang yang apabila aku mentaati Allah, dia akan menggodaku untuk melakukan kederhakaan. Aku menganggap bahawa mereka itu adalah Iblis, nafsu, dunia dan hawa. Oleh kerana itu, aku menjadikan mereka sebagai musuhku. Aku akan berhati-hati dengan mereka dan mempersiapkan segala sesuatu untuk memerangi mereka. Aku tidak akan membiarkan mereka mendekatiku"
Syafiq berkata: "Bagus"
Keempat: Aku melihat setiap makhluk hidup dalam keadaan diburu dan pemburu tersebur adalah malaikat maut. Maka, aku akan mempersiapkan diri untuk menemuinya sehingga apabila ia telah bertemu denganku, aku akan segera menyambutnya tanpa penghalang"
Syafiq berkata: "Bagus"
Kelima: Aku melihat semua manusia selalu dalam keadaan saling menyayangi atau saling membenci. Lalu, aku mempelajari sebab dari sayang dan benci tersebut. Maka, aku mengetahui bahawa sebab dari semua itu adalah sifat dengki. Oleh kerana itu, aku membuang jauh-jauh dari diriku sifat hasad tersebut dengan cara membuang sesuatu yang melekatkan antara aku dengannya, iaitu hawa nafsu. Kemudian aku mencintai semua manusia sebagaimana aku mencintai diriku sendiri.
Syafiq berkata: "Bagus"
Keenam: Aku melihat setiap orang yang bertempat tidak dapat pasti akan berpisah dengan tempatnya. Maka, aku melihat bahawa tempat kembali semua orang yang menetap tersebut adalah kubur. Oleh kerana itu, aku mempersiapkan untuknya segala persiapan berupa amal-amal soleh untuk menetap di tempatku yang baru tersebut sedangkan tidak ada tempat di belakangnya kecuali Syurga atau Neraka"
Syafiq berkata: "Bagus"
~ Mutiara Hadith ~
Dari Mughirah bin Syu'bah: Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:
'Sungguh Allah mengharamkan kepada kamu durhaka kepada ibu-ibu
dan mengubur bayi perempuan hidup-hidup serta menahan dan
meminta, dan Allah tidak suka kamu melakukan kata si anu dan kata
si anu serta banyak pertanyaan dan menyia-nyiakan harta.
(Riwayat Bukhari dan Muslim, Sahih)

Petikan dari Buku Apa ertinya dunia bagiku & 97 kisah teladan.
Pengarang: Mohd. Najib Iskandar.

Friday, January 9, 2009

BERPUASALAH KAMU PADA HARI ASYURAA

"
Alhamdulillah dengan kemurahan hati dan rahmat dariNya kita masih lagi mampu untuk bernafas pada bulan Muharram tahun 1430 Hijriah ini sekaligus meneruskan lagi perjuangan hidup di dunia yang fana' ini. Moga-moga dengan kehidupan kita yang masih berbaki ini dapat kita gunakan sepenuhnya untuk berbakti pada agama kita yang tercinta.


Hari yang paling bertuah atau yang paling istimewa dalam bulan Muharram ialah Hari Asyura yang mana jatuhnya pada hari ke-10 dalam bulan Muharram. Pelbagai peristiwa-peristiwa penting pernah berlaku pada tarikh tersebut seperti terciptanya Nabi Adam a.s., dikeluarkan Nabi Yusuf daripada telaga buta, selamatnya Nabi Ibrahim daripada api Namrud dan sebagainya.



Kalau di negara kita pula bubur 'asyura sudah pastinya menjadi hidangan yang lazim disediakan dalam meraikan hari tersebut.
Tanpa melupakan peristiwa-peristiwa yang berlaku itu kita juga disunatkan untuk berpuasa pada hari tersebut. Malah mengikut Mazhab Hanafi puasa pada hari ke-10 dalam bulan Muharram itu adalah puasa yang pertama difardhukan sebelum daripada difardhukan puasa pada bulan Ramadhan.

Rasulullah bersabda:-

"Berpuasa sunat pada 10 Muharram akan menghapuskan dosa setahun sebelumnya"

(Riwayat Imam Muslim)

Oleh kerana orang Yahudi juga berpuasa pada tarikh tersebut maka disunatkan juga pada kita untuk berpuasa pada hari yang ke-9 bagi mengelakkan persamaan antara puasa kita selaku orang islam dengan puasa yang dilakukan oleh orang Yahudi. Jika kita tidak berkesempatan untuk berpuasa pada hari yang ke-9 maka masih boleh untuk kita menggandingkan puasa kita pada hari yang ke-10 itu dengan hari yang ke-11.

Sabda Rasulullah S.A.W:-

"Berpuasalah kamu pada hari ‘Asyura (10 Muharram), dan bezakan kamu dengan orang-orang yahudi (yang hanya berpuasa hari ke-10 Muharram sahaja), hendaklah kamu berpuasa sehari sebelumnya atau selepasnya"

Para ulama' membuat kesimpulan mengenai kajian-kajian yang mereka lakukan tentang puasa pada pada hari 'Asyura dengan berpuasa pada hari tersebut melalui 3 kaedah.

1. Berpuasa pada 3 hari iaitu 9, 10 dan 11 Muharram.

2. Berpuasa pada hari ke-9 dan ke-10 Muharram.

3. Berpuasa pada hari ke 10 Muharram sahaja.



Adapun orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ke-10 pada bulan Muharram ialah untuk mengagungkan hari tersebut kerana pada hari itulah Allah S.W.T memberi kemenangan pada Nabi Musa a.s dan Bani Isra'el ke atas Fir'aun. Seperti mana disebutkan dalam hadith:-

Said bin Jubair dari Ibnu Abbas r.a berkata: Ketika Nabi saw baru berhijrah ke Madinah, maka mereka dapati kaum Yahudi berpuasa pada hari 'Asyura (10 Muharam). Maka mereka pun bertanya kepada kaum Yahudi tentang puasa mereka itu. Mereka menjawab, “Hari ini Allah memenangkan Musa dan Bani Israel terhadap Firaun dan kaumnya, maka kami berpuasa sebagai mengagungkan hari ini. Maka Nabi Muhammad S.A.W bersabda: “Kami lebih layak mengikuti jejak langkah Musa daripada kamu”

Berpuasa pada hari 'Asyura juga sangat diutamakan oleh Rasulullah S.A.W.

Abu Hurairah r.a berkata:

"Seorang bertanya kepada Rasulullah S.A.W. 'Solat manakah yang lebih utama setelah solat fardhu? 'Nabi S.A.W. bersabda, 'Solat di tengah malam. 'Mereka bertanya lagi, 'Puasa manakah yang lebih utama setelah puasa Ramadhan?' Nabi S.A.W. bersabda, 'Puasa pada bulan Allah yang kamu namakan bulan Muharram."

(Riwayat Imam Muslim dan Imam Abu Daud)

Sama-samalah kita berpuasa pada hari 'Asyura. Mudah-mudahan dengan segala fadhilat yang kita perolehi daripada puasa kita pada hari tersebut akan bertambah beratlah timbangan amal baik kita dan berkurangnya berat timbangan amal buruk kita ketika semua amalan kita di timbang kelak.

Thursday, January 8, 2009

AKHLAK RASULULLAH S.A.W

Adalah Rasulullah SAW merupakan seorang yang banyak merendahkan diri dan berdoa ke hadrat Allah SWT agar menganugerahkan baginda dengan kebaikan adab dan kemuliaan budi pekerti/akhlak. Antara doa baginda yang bermaksud :-

'Ya Allah Ya Tuhanku, perbaikkanlah kejadianku dan akhlakku'

Maka Allah SWT menganugerahkan baginda Al–Qur’anul Karim yang mengandungi pengajaran mengenai adab dan kesopanan. Aisyah RA pernah menyamakan akhlak Rasulullah SAW dengan Al-Qur’an (Riwayat Muslim – Saad Hisham)

Mafhum Firman Allah SWT:-

'Dan Engkau (Wahai Muhammad) sesungguhnya mempunyai akhlak yang tinggi' (Surah Al-Qalam : 4)

Rasulullah SAW adalah manusia yang:

* paling penyabar, paling berani, paling adil dan paling menjaga diri.
* Tiada sekali-kali tangan baginda menyentuh tangan wanita yang tidak dimilikinya selaku sahaya atau ikatan perkahwinan atau wanita itu muhrimnya.
* Mengasihi umat dan menyayangi ahli bait dan sahabatnya.
* Adalah baginda manusia yang pemurah hati, suka bersedekah apa yang ada pada dirinya.
* Menampal sandalnya, kainnya dan mengurus kepentingan keluarganya.
* Sangat pemalu – tidak tetap pandangannya pada muka seseorang
* Suka memperkenankan undangan sahaya dan orang merdeka
* Menerima hadiah walaupun seteguk air/sepaha arnab dan membalas hadiah berkenaan.
* Tidak memakan harta sedekah
* Tidak sombong
* Memarahi dan melaksanakan kewajipannya atas dasar kebenaran
* Tidak pernah meminta pertolongan orang musyrik
* Suka berpuasa – mengikat batu pada perutnya apabila lapar –
jika makan tidak pernah kenyang
* Paling beradab dalam makan – Antaranya - makan tanpa bersandar dan tanpa meja
– sapu tangannya adalah kedua telapak kakinya.
* Lebih mengutamakan orang lain daripada diri baginda sendiri.
* Tawadduk dan tenang
* Tidak terganggu dengan urusan dunia
* Menyukai jubah bulu/syamlah
* Bercincin perak di jari manis kanan dan kiri
* Mengunjungi orang sakit
* Berkenderaan kaldai dan unta
* Menyukai bau-bauan
* Duduk dan makan bersama orang-orang miskin
* Berbuat baik dengan kaum bangsawan
* Memuliakan orang-orang berakhlak
* Bergurau/tersenyum dan tidak mengatakan kecuali yang benar.
* Tidak takut kepada raja kerana kerajaannya
* Ummi dan hafiz/paling fasih/merdu bacaan Al-Qur’an/Lughah Arab
* Tidak pernah mencaci, memaki hamun, mengutuk, memfitnah, mengumpat,
menganiaya, hasad dengki, tamak haloba dll.
* Tidak memukul kecuali di atas jalan Allah SWT, Tidak berdendam,
Tidak memutuskan silaturrahim
* Paling kuat ibadatnya, paling berilmu/arif, paling banyak taubat dan syukurnya dll.
* Memuliakan tetamu dan jiran tetangga
* Berkinayah/berdiam diri dengan tampak tanda tidak menggemari perkara yang
tidak disukainya (makruh contohnya)
* Pembela wanita
* Suka menasihati
* Dan banyak lagi.

Maksud Sabda Rasulullah SAW :

1. 'Demi Allah yang nyawaku dalam kekuatanNya! Tiada masuk syurga kecuali orang
yang berakhlak mulia/baik'
2. ‘Bahawa Allah mengelilingkan Agama Islam dengan akhlak/budi pekerti yang mulia dan amal perbuatan yang baik’ Mafhum Firman Allah SWT : 1. 'Sesungguhnya Allah memerintahkan supaya dijalankan keadilan dan berbuat kebaikan' (Surah An-Nahl :90) 2. 'Maka dengan rahmat Allah, engkau (Muhammad) berlemah-lembut dengan mereka dan sekiranya engkau berkasar dan bengis/pemarah, tentulah mereka akan melarikan diri dari kelilingmu'

Maksud Sabda Rasulullah SAW:

'Aku mewasiatkan engkau supaya bertaqwa kepada Allah, bercakap benar, menepati janji, menunaikan amanah, meninggalkan perbuatan khianat, menjaga jiran tetangga, mengasihani anak yatim, lemah lembut perkataan, memberi salam, bagu amal perbuatan, pendek angan-angan, harus kuat keimanan, memahami Al-Qur’an, mencintai akhirat, merasa gusar mengenai hisab amalan dan merendahkan diri. Dan aku melarang engkau, memaki hakim atau mendustakan orang yang benar atau mentaati orang yang berdosa atau mendurhakai imam yang adil atau merosakkan muka bumi. Dan aku mewasiatkan engkau agar bertaqwa kepada Allah pada setiap batu, kayu dan tanah. Dan engkau datangkan taubat bagi setiap dosa. Taubat rahsia dengan rahsia dan yang terang dengan terang.

'Ali RA berkata :

'Alangkah hairannya orang Muslim! Datang kepadanya saudaranya Muslim yang memerlukan. Lalu ia melihat dirinya tidak berhak membuat kebajikan kepada saudaranya itu. Sekiranya ia tidak mengharapkan pahala dan tidak takut kepada siksaan, sesungguhnya, sepatutlah ia bersegera kepada akhlak yang mulia kerana akhlak yang mulia itu adalah di antara penunjuk kepada jalan bebas/pelepasan (dari dosa umpamanya)

'Antara doa baginda yang masyhur (mengenai peradaban/akhlak mulia) :

"Ya Allah Ya Tuhanku, Perlihatkanlah kepadaku kebenaran itu kebenaran, lalu aku mengikutinya. Perlihatkanlah kepadaku kemungkaran dan anugerahilah aku menjauhkan diri daripadanya. Lindungilah aku daripada apa-apa yang meragukan lalu aku mengikuti hawa nafsuku, tanpa petunjuk dari Engkau. Jadikanlah hawa nafsuku patuh mentaatiMu. Ambillah kerelaan diri Engkau dari diriku kepada keafiatan. Dan tunjukkanlah aku kebenaran yang aku perselisihkan padanya, dengan keizinan Engkau. Sesungguhnya Engkau menunjukkan (jalan) siapa yang Engkau kehendaki atas jalan yang lurus"

INSYAALLAH TAALA,
APLIKASIKAN AKHLAK RASULULLAH S.A.W DALAM KEHIDUPAN HARIAN KITA, SE,OGA MENDAPAT KEJAYAAN DI DUNIA DAN AKHIRAT