Friday, January 9, 2009

BERPUASALAH KAMU PADA HARI ASYURAA

"
Alhamdulillah dengan kemurahan hati dan rahmat dariNya kita masih lagi mampu untuk bernafas pada bulan Muharram tahun 1430 Hijriah ini sekaligus meneruskan lagi perjuangan hidup di dunia yang fana' ini. Moga-moga dengan kehidupan kita yang masih berbaki ini dapat kita gunakan sepenuhnya untuk berbakti pada agama kita yang tercinta.


Hari yang paling bertuah atau yang paling istimewa dalam bulan Muharram ialah Hari Asyura yang mana jatuhnya pada hari ke-10 dalam bulan Muharram. Pelbagai peristiwa-peristiwa penting pernah berlaku pada tarikh tersebut seperti terciptanya Nabi Adam a.s., dikeluarkan Nabi Yusuf daripada telaga buta, selamatnya Nabi Ibrahim daripada api Namrud dan sebagainya.



Kalau di negara kita pula bubur 'asyura sudah pastinya menjadi hidangan yang lazim disediakan dalam meraikan hari tersebut.
Tanpa melupakan peristiwa-peristiwa yang berlaku itu kita juga disunatkan untuk berpuasa pada hari tersebut. Malah mengikut Mazhab Hanafi puasa pada hari ke-10 dalam bulan Muharram itu adalah puasa yang pertama difardhukan sebelum daripada difardhukan puasa pada bulan Ramadhan.

Rasulullah bersabda:-

"Berpuasa sunat pada 10 Muharram akan menghapuskan dosa setahun sebelumnya"

(Riwayat Imam Muslim)

Oleh kerana orang Yahudi juga berpuasa pada tarikh tersebut maka disunatkan juga pada kita untuk berpuasa pada hari yang ke-9 bagi mengelakkan persamaan antara puasa kita selaku orang islam dengan puasa yang dilakukan oleh orang Yahudi. Jika kita tidak berkesempatan untuk berpuasa pada hari yang ke-9 maka masih boleh untuk kita menggandingkan puasa kita pada hari yang ke-10 itu dengan hari yang ke-11.

Sabda Rasulullah S.A.W:-

"Berpuasalah kamu pada hari ‘Asyura (10 Muharram), dan bezakan kamu dengan orang-orang yahudi (yang hanya berpuasa hari ke-10 Muharram sahaja), hendaklah kamu berpuasa sehari sebelumnya atau selepasnya"

Para ulama' membuat kesimpulan mengenai kajian-kajian yang mereka lakukan tentang puasa pada pada hari 'Asyura dengan berpuasa pada hari tersebut melalui 3 kaedah.

1. Berpuasa pada 3 hari iaitu 9, 10 dan 11 Muharram.

2. Berpuasa pada hari ke-9 dan ke-10 Muharram.

3. Berpuasa pada hari ke 10 Muharram sahaja.



Adapun orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ke-10 pada bulan Muharram ialah untuk mengagungkan hari tersebut kerana pada hari itulah Allah S.W.T memberi kemenangan pada Nabi Musa a.s dan Bani Isra'el ke atas Fir'aun. Seperti mana disebutkan dalam hadith:-

Said bin Jubair dari Ibnu Abbas r.a berkata: Ketika Nabi saw baru berhijrah ke Madinah, maka mereka dapati kaum Yahudi berpuasa pada hari 'Asyura (10 Muharam). Maka mereka pun bertanya kepada kaum Yahudi tentang puasa mereka itu. Mereka menjawab, “Hari ini Allah memenangkan Musa dan Bani Israel terhadap Firaun dan kaumnya, maka kami berpuasa sebagai mengagungkan hari ini. Maka Nabi Muhammad S.A.W bersabda: “Kami lebih layak mengikuti jejak langkah Musa daripada kamu”

Berpuasa pada hari 'Asyura juga sangat diutamakan oleh Rasulullah S.A.W.

Abu Hurairah r.a berkata:

"Seorang bertanya kepada Rasulullah S.A.W. 'Solat manakah yang lebih utama setelah solat fardhu? 'Nabi S.A.W. bersabda, 'Solat di tengah malam. 'Mereka bertanya lagi, 'Puasa manakah yang lebih utama setelah puasa Ramadhan?' Nabi S.A.W. bersabda, 'Puasa pada bulan Allah yang kamu namakan bulan Muharram."

(Riwayat Imam Muslim dan Imam Abu Daud)

Sama-samalah kita berpuasa pada hari 'Asyura. Mudah-mudahan dengan segala fadhilat yang kita perolehi daripada puasa kita pada hari tersebut akan bertambah beratlah timbangan amal baik kita dan berkurangnya berat timbangan amal buruk kita ketika semua amalan kita di timbang kelak.

Thursday, January 8, 2009

AKHLAK RASULULLAH S.A.W

Adalah Rasulullah SAW merupakan seorang yang banyak merendahkan diri dan berdoa ke hadrat Allah SWT agar menganugerahkan baginda dengan kebaikan adab dan kemuliaan budi pekerti/akhlak. Antara doa baginda yang bermaksud :-

'Ya Allah Ya Tuhanku, perbaikkanlah kejadianku dan akhlakku'

Maka Allah SWT menganugerahkan baginda Al–Qur’anul Karim yang mengandungi pengajaran mengenai adab dan kesopanan. Aisyah RA pernah menyamakan akhlak Rasulullah SAW dengan Al-Qur’an (Riwayat Muslim – Saad Hisham)

Mafhum Firman Allah SWT:-

'Dan Engkau (Wahai Muhammad) sesungguhnya mempunyai akhlak yang tinggi' (Surah Al-Qalam : 4)

Rasulullah SAW adalah manusia yang:

* paling penyabar, paling berani, paling adil dan paling menjaga diri.
* Tiada sekali-kali tangan baginda menyentuh tangan wanita yang tidak dimilikinya selaku sahaya atau ikatan perkahwinan atau wanita itu muhrimnya.
* Mengasihi umat dan menyayangi ahli bait dan sahabatnya.
* Adalah baginda manusia yang pemurah hati, suka bersedekah apa yang ada pada dirinya.
* Menampal sandalnya, kainnya dan mengurus kepentingan keluarganya.
* Sangat pemalu – tidak tetap pandangannya pada muka seseorang
* Suka memperkenankan undangan sahaya dan orang merdeka
* Menerima hadiah walaupun seteguk air/sepaha arnab dan membalas hadiah berkenaan.
* Tidak memakan harta sedekah
* Tidak sombong
* Memarahi dan melaksanakan kewajipannya atas dasar kebenaran
* Tidak pernah meminta pertolongan orang musyrik
* Suka berpuasa – mengikat batu pada perutnya apabila lapar –
jika makan tidak pernah kenyang
* Paling beradab dalam makan – Antaranya - makan tanpa bersandar dan tanpa meja
– sapu tangannya adalah kedua telapak kakinya.
* Lebih mengutamakan orang lain daripada diri baginda sendiri.
* Tawadduk dan tenang
* Tidak terganggu dengan urusan dunia
* Menyukai jubah bulu/syamlah
* Bercincin perak di jari manis kanan dan kiri
* Mengunjungi orang sakit
* Berkenderaan kaldai dan unta
* Menyukai bau-bauan
* Duduk dan makan bersama orang-orang miskin
* Berbuat baik dengan kaum bangsawan
* Memuliakan orang-orang berakhlak
* Bergurau/tersenyum dan tidak mengatakan kecuali yang benar.
* Tidak takut kepada raja kerana kerajaannya
* Ummi dan hafiz/paling fasih/merdu bacaan Al-Qur’an/Lughah Arab
* Tidak pernah mencaci, memaki hamun, mengutuk, memfitnah, mengumpat,
menganiaya, hasad dengki, tamak haloba dll.
* Tidak memukul kecuali di atas jalan Allah SWT, Tidak berdendam,
Tidak memutuskan silaturrahim
* Paling kuat ibadatnya, paling berilmu/arif, paling banyak taubat dan syukurnya dll.
* Memuliakan tetamu dan jiran tetangga
* Berkinayah/berdiam diri dengan tampak tanda tidak menggemari perkara yang
tidak disukainya (makruh contohnya)
* Pembela wanita
* Suka menasihati
* Dan banyak lagi.

Maksud Sabda Rasulullah SAW :

1. 'Demi Allah yang nyawaku dalam kekuatanNya! Tiada masuk syurga kecuali orang
yang berakhlak mulia/baik'
2. ‘Bahawa Allah mengelilingkan Agama Islam dengan akhlak/budi pekerti yang mulia dan amal perbuatan yang baik’ Mafhum Firman Allah SWT : 1. 'Sesungguhnya Allah memerintahkan supaya dijalankan keadilan dan berbuat kebaikan' (Surah An-Nahl :90) 2. 'Maka dengan rahmat Allah, engkau (Muhammad) berlemah-lembut dengan mereka dan sekiranya engkau berkasar dan bengis/pemarah, tentulah mereka akan melarikan diri dari kelilingmu'

Maksud Sabda Rasulullah SAW:

'Aku mewasiatkan engkau supaya bertaqwa kepada Allah, bercakap benar, menepati janji, menunaikan amanah, meninggalkan perbuatan khianat, menjaga jiran tetangga, mengasihani anak yatim, lemah lembut perkataan, memberi salam, bagu amal perbuatan, pendek angan-angan, harus kuat keimanan, memahami Al-Qur’an, mencintai akhirat, merasa gusar mengenai hisab amalan dan merendahkan diri. Dan aku melarang engkau, memaki hakim atau mendustakan orang yang benar atau mentaati orang yang berdosa atau mendurhakai imam yang adil atau merosakkan muka bumi. Dan aku mewasiatkan engkau agar bertaqwa kepada Allah pada setiap batu, kayu dan tanah. Dan engkau datangkan taubat bagi setiap dosa. Taubat rahsia dengan rahsia dan yang terang dengan terang.

'Ali RA berkata :

'Alangkah hairannya orang Muslim! Datang kepadanya saudaranya Muslim yang memerlukan. Lalu ia melihat dirinya tidak berhak membuat kebajikan kepada saudaranya itu. Sekiranya ia tidak mengharapkan pahala dan tidak takut kepada siksaan, sesungguhnya, sepatutlah ia bersegera kepada akhlak yang mulia kerana akhlak yang mulia itu adalah di antara penunjuk kepada jalan bebas/pelepasan (dari dosa umpamanya)

'Antara doa baginda yang masyhur (mengenai peradaban/akhlak mulia) :

"Ya Allah Ya Tuhanku, Perlihatkanlah kepadaku kebenaran itu kebenaran, lalu aku mengikutinya. Perlihatkanlah kepadaku kemungkaran dan anugerahilah aku menjauhkan diri daripadanya. Lindungilah aku daripada apa-apa yang meragukan lalu aku mengikuti hawa nafsuku, tanpa petunjuk dari Engkau. Jadikanlah hawa nafsuku patuh mentaatiMu. Ambillah kerelaan diri Engkau dari diriku kepada keafiatan. Dan tunjukkanlah aku kebenaran yang aku perselisihkan padanya, dengan keizinan Engkau. Sesungguhnya Engkau menunjukkan (jalan) siapa yang Engkau kehendaki atas jalan yang lurus"

INSYAALLAH TAALA,
APLIKASIKAN AKHLAK RASULULLAH S.A.W DALAM KEHIDUPAN HARIAN KITA, SE,OGA MENDAPAT KEJAYAAN DI DUNIA DAN AKHIRAT

MEMBETULKAN NIAT MENUNTUT ILMU




Sabda Nabi SAW:عَنْ كَعْبِ بْنِ مَالِكٍ t قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ r يَقُولُ: مَنْ طَلَبَ الْعِلْمَ لِيُجَارِيَ بِهِ الْعُلَمَاءَ أَوْ لِيُمَارِيَ بِهِ السُّفَهَاءَ أَوْ يَصْرِفَ بِهِ وُجُوهَ النَّاسِ إِلَيْهِ أَدْخَلَهُ اللَّهُ النَّارَ.


Maksudnya :"Daripada Ka'ab bin Malik r.a, katanya : Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang menuntut ilmu (agama) untuk menyaingi ulama, atau berbahas dengan orang jahil, atau supaya dengan ilmu tersebut wajah orang ramai tertumpu kepadanya, maka Allah masukkan dia ke dalam neraka." (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah daripada Ibn 'Umar, al-Hakim daripada Jabir bin 'Abdillah. Al-Hakim mensahehkannya dan disetujui oleh al-Zahabi. Lihat : Al-Mustadrak 1/272, cetakan Dar al-Ma'rifah, Beirut. Ada perselisihan dalam menentukan kedudukan hadith ini, namun hadith ini mempunyai syahid (pembuktian daripada riwayat lain) yang menjadikannya pada darjah sahih.)

Tujuan menuntut ilmu agama adalah untuk keluar dari kejahilan demi mencari kebenaran dan berpegang kepadanya. Juga untuk menegakkan kebenaran dan membelanya. demikian tugasan dan tanggungjawab taalib al-'Ilm dan ulama' (ahl al-'Ilm). Menuntut ilmu adalah ibadah dan ianya membawa insane muslim ke syurga. Namun ada di kalangan manusia golongan yang ingin bermegah-megah dengan ilmu agamanya, bukan untuk kebenaran tetapi sekadar untuk menaikan diri dan kedudukannya sahaja. Dalam hadith ini disebut tiga niat buruk yang menyebabkan penuntut ilmu agama dihumban ke dalam neraka.

Pertama : Liyujaariya bihi al-'Ulama' - iaitu untuk bersaing dengan ulama.

Kata al-Imam Ibn Athir (wafat 606H) : "maksudnya ialah untuk dia bersama ulama di dalam perbahasan dan perdebatan bagi menzahirkan ilmunya kepada orang ramai dengan tujuan riya' dan sum'ah (inginkan kemasyhuran). (Ibn al-Athir, al-Nihayah fi gharib al-Hadith wa al-Athar, 1/256, cetakan Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, Beirut.)

Turut berbincang dan berbahas dalam majlis ulama atau dengan para ulama bukanlah satu kesalahan. Apatah lagi jika seseorang itu bernar-benar berkemampuan. Islam menggalakkan kebangkitan ilmu dan generasi intektual yang baru.

Islam mengalu-alukan ijtihad yang baik dan memenuhi tuntutan. Namun yang salah ialah pada niatnya yang ingin menjadikan ilmu sebagai jambatan kesombongan dan ketakburan. Ilmu yang sepatutnya membawa dirinya kepada syukur dan insaf dijadikan sebagai punca sikap bangga diri dan menunjuk-nunjuk.

Kesan niat yang sangat buruk sangat bahaya; orang yang seperti ini hanya mementingkan dirinya sahaja bukan kebenaran fakta. Dia hanya ingin menegakkan hujahnya untuk menaikkan namanya bukan untuk kebenaran yang Allah redhai. Jika dia melihat kebenaran di pihak lain dia akan menolak dan mencari dalih yang baru demi menjaga kemasyhuran namanya. Maka tempat orang seperti ini di dalam neraka.

Kata al-Imam al-Tibi (wafat 743H) : "Maksud hadith ini ialah dia tidak menuntut ilmu kerana Allah, sebaliknya untuk dia berkata kepada para ulama : "aku ini berilmu seperti kamu", kemudiannya dia takabur dan meninggikan diri pada orang ramai. Ini semuanya (sifat) yang tercela dan azab siksa akan dikenakan kepadanya." (Al-Tibi, Syarh al-Tibi 'ala al-Miskah al-Masabih, 1/420, cetakan Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, Beirut.)


Kedua : Liyumaariya bihi as-Sufahaa' - untuk bertengkar dengan orang jahil.

Kata Imam al-Munawi (meninggal 1031H) : "Maksudnya ialah untuk dia berhujjah dan bertengkar dengan mereka secara sombong dan membanggakan diri." (Al-Munawi, Faidh al-Qadir, 6/176, cetakan al-Maktabah al-Tijariyah al-kubra, Mesir)

Niat buruk kedua dalam menuntut ilmu agama ialah menuntut ilmu dengan tujuan untuk bertengkar dengan orang yang jahil kerana ingin menunjukkan kehebatannya. Sedangkan antara tujuan ilmu ialah untuk menyelamatkan orang jahil agar menemui kebenaran. Ini kerana akal golongan yang jahil sangat terhad dan memerlukan bimbingan. Namun ada golongan yang menuntut ilmu untuk bertengkar dengan golongan jahil ini dan menunjukkan kehebatannya kepada mereka. Orang jahil yang terhad ilmu dan akalnya pasti menyangka dia hebat. Mungkin hal ini tidak dapat dilakukan di hadapan ulama maka dia mencari ruang di kalangan orang jahil.

Sebenarnya berbahas, atau berhujjah, atau berdebat itu sendiri bukanlah perkara yang terlarang dalam syariat, tetapi ianya mestilah dengan cara yang baik dan membawa kesan yang positif. Bukan untuk kesombongan dan ketakburan tetapi untuk membimbing manusia kembali kepada hidayah. Firman Allah dalam surah al-Nahl ayat 125 yang bermaksud : "Serulah ke jalan tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah (kebijaksanaan ) dan nasihat pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka (yang endkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya tuhan mu Dia lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lebih mengetahui siapa yang mendapat hidayah petunjuk.

"Kata al-Tibi : "Maksud : berdebatlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik ialah dengan cara yang terbaik dalam perdebatan, iaitu dengan lunak dan berlemah lembut tanpa bersikap kasar dan keras. Ini kerana golongan yang jahil itu kurang pertimbangannya." (Al-Tibi, op.cit. 1/420.)


Ketiga : Yasrifa bihi wujuuha an-Naasi ilaihi - agar dengan ilmu tersebut wajah orang ramai tertumpu kepadanya.

Ini niat buruk yang ketiga iaitu menuntut ilmu agar mendapat habuan, harta dan pangkat. Dia menjadikan pengetahuan agama untuk mencari popularity atau mendapat kedudukan dan jawatan. Menjadikan orang ramai tertarik kepadanya. Orang yang seperti ini sebenarnya bersedia untuk menjual agamanya untuk habuan dunia yang dia buru.

Kesalahannya bukan kerana dia mendapat habuan dunia atau kemasyhuran tetapi niatnya yang memburu dunia dengan mempergunakan agama itu adalah suatu kesalahan.

Jika menjelmanya tiga niat buruk ini dalam jiwa pemegang amanah ilmu maka ilmu tidak lagi menjadi cahaya yang menerangi kegelapan, sebaliknya ilmu akan dijadikan jualan untuk mendapatkan habuan. Oleh itu Nabi s.a.w. menjanjikan tiga niat buruk ini dengan neraka. Dalam hadith yang lain baginda menyebut : maksudnya : "Daripada Abu Hurairah ; Sabda RasululLah s.a.w. : " Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu yang dengannya dicari redha Allah Azza wa Jalla, tetapi dia tidak mempelajarinya kecuali untuk mendapatkan habuan dunia, maka dia tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat." (riwayat Abu Daud dan Ibn Majah. Al-Nawawi mensahihkannya dalam Riyadh al-Solihin - lihat Ibn 'Allan, Dalil al-Falihin, 4/191 cetakan Dar al-Fikr, Beirut)

Pengajaran Semasa

1.Semua para penuntut ilmu syarak pada zaman ini disemua peringkat hendaklah membersihkan niat asal mereka dalam menuntut ilmu. Jika golongan ilmuan Islam dapat dipulihkan niat mereka agar bersi dan mencari redha Allah s.w.t. pastinya Islam akan terbela dan setiap yang mempermain-mainkannya akan terjawab.

2- Kemunculan individu dan NGO tertentu yang cuba menjadikan nas-nas agama sebagai sendaan adalah terbit daripada salah satu dari tiga niat di atas. Mereka ini bukan sahaja tidak mencukupi ilmu pengetahuan agamanya sebaliknya mereka gagal membersihkan niat mereka dalam menuntut ilmu syarak atau ketika membaca bahan agama.

3- Kelahiran tokoh agama 'segera' yang mengajar agama di surau, masjid dan sebagainya tanpa mendalami ilmu-ilmu Islam dan disiplin setiap ilmu adalah berpunca dari niat ingin menzahirkan diri sekalipun mereka tidak layak. Sebahagian mereka sememangnya mempunyai sedikit pengajian agama. Namun niat ingin segera muncul di khalayak ramai menjadikan mereka tergesa-gesa menjadi guru orang ramai sebelum mereka menguasai ilmu. Maka lahir fatwa-fatwa yang menyanggahi kitab Allah dan sunnah RasululLah s.a.w.

4- Orientalis telah memperdayakan umat Islam dalam persoalan niat menuntut ilmu ini. Maka kita dapati pada hari ini ramai yang memiliki sijil agama sehingga ke peringkat kedoktoran falsafah dari dunia barat dengan 'berguru' kepada Yahudi dan Kristian. Sikap tidak mementingkan ilmu dan ingin segera memeliki sijil segera dan memperolehi habuan dunia menjadikan sebahagian mereka mengambil jalan pintas dengan berguru kepada musuh-musuh agama dalam bidang agama. Kebanyakan mereka pulang ke dunia Umat Islam dengan membawa pemikiran yang beracun. Secara sedar atau tidak mereka ini hari demi hari hanya menambahkan keraguan jiwa mereka terhadap agama, demikian juga mereka sebarkan kepada umat Islam.

Sebab itu seorang tabi' besar Muhammad bin Sirin (wafat 110H) menyebut : maksudnya : "Sesungguhnya ilmu ini (mengenai al-Quran dan as-Sunnah) adalah Deen (agama). Oleh itu perhatikanlah daripada siapa kamu semua mengambil agama kamu." (riwayat Muslim pada muqaddimah sahihnya)

Bayangkan bagaimana dipelajari aqidah Islamiyyah daripada guru yang kafir yang tidak percayakan Islam, bagaimana dipelajari tafsir daripada guru yang tidak percayakan al-Quran, bagaimana dipelajari hadith daripada guru yang tidak beriman dengan Muhammad sebagai Rasul, bagaimana dipelajari fekah daripada guru yang tidak pernah mengamalkan hukum hakam syarak. Namun hanya kepada Allah kita mengadu betapa ramai anak-anak umat Islam yang mendapat kelulusan agama dengan panduan mereka yang tidak beriman kepada Islam. mereka pulang dengan membawa gelaran-gelaran ilmu, namun sebenarnya sebahagian mereka hanya membawa racun kepada umat Islam.

Oleh : Ustaz Mohd Asri Zainul Abidin

Ditaip semula oleh : Abdul Kadir